Antara ‘kecewa’ Tuan Ibrahim dan ‘nakal’ Lah Karim
  • Buat akaun
    *
    *
    *
    *
    *
    Fields marked with an asterisk (*) are required.
Anda Berada Di: Laman Utama

Antara ‘kecewa’ Tuan Ibrahim dan ‘nakal’ Lah Karim

E-mail Cetak PDF

Jawatankuasa Disiplin dalam mana-mana parti politik lazimnya dianggap berada

pada kedudukannya yang tersendiri sehingga anggota dan keputusannya digeruni dan dihormati.

 

PAS juga mempunyai Jawatankuasa Disiplin dan minggu lalu pengerusinya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Exco dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali diberikan amaran bertulis sementara Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad digantung jawatan sebagai YDP dan anggota biro politik parti selama enam bulan.

Keputusan diambil setelah kedua-duanya didapati bersalah berdasarkan perbicaraan yang dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu.

Namun begitu keputusan Jawatankuasa Disiplin seumpama itu yang jarang dipertikaikan dalam parti-parti politik lain, rupa-rupanya menjadi ‘ledakan bom’ daripada kalangan sendiri.

Umpama ‘rumah siap pahat berbunyi’, keputusan yang diumumkan pada 29 Januari itu terus menjadi polemik dan perdebatan di medium internet. Malah di sesetengah blog, Tuan Ibrahim sendiri ‘diserang’ secara peribadi.

Antara yang terang-terang mempertikaikan keputusan tersebut ialah anak buah Tuan Ibrahim sendiri iaitu Exco Dewan Pemuda PAS Pusat Abdullah Abdul Karim yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Pahang.

Tuan Ibrahim yang mengakui berada di ‘kerusi panas, tampak agak terkilan dan dukacita dengan Abdullah yang sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur perbicaraan. Malah berasa pelik kerana yang kena hukum berpuas hati, sebaliknya yang tidak ada kena mengena pula yang tidak berpuas hati.

“Selepas keputusan diumumkan saya menjangkakan Umno akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. Umno tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama”.

“Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang Jawatankuasa Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?,” luah Tuan Ibrahim dalam blognya.

Umum melihat Tuan Ibrahim mempunyai alasan untuk merasa kecewa dengan Abdullah kerana peguam muda itu selama ini merupakan orang harapan Tuan Ibrahim kerana dianggap berpotensi besar bagi meralisasikan cita-cita PAS di negeri Pahang.

Abdullah sebelum ini menempelak dan mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Disiplin kerana pada pendapatnya tidak berlaku adil.

"Amat menghairankan bila individu yang bermati-matian mempertahankan dasar dan keputusan PAS untuk berkerjasama dalam Pakatan Rakyat dikenakan hukuman yang berat, sedangkan individu yang tindakannya boleh menjejaskan kerajaan Pakatan Selangor hanya diberi amaran sahaja”.

"Saya rasa hukuman terhadap Hasan hanya sekadar wayang untuk 'membersihkannya' dan pada masa yang sama Khalid terus dimangsakan. Khalid yang sepatutnya dianggap 'hero' mempertahankan Pakatan telah diheret dan menjadi mangsa dendam kesumat anasir anti Pakatan dalam PAS", tulisnya yang dipetik banyak laman internet.

Anggapan ramai sudah tentu pendapat Abdullah itu seolah-olah meletakkan Jawatankuasa Disiplin bertindak menyebelahi salah satu pihak yang bertelagah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan ketika diminta pandangannya berkaitan polemik baru ini, berkata berdasarkan hujah-hujah kumpulan yang mempertikaikan hukuman ke atas Khalid, ada tanda-tanda ianya datang daripada kumpulan yang mana satu ketika dulu kebanyakannya kalah dalam pemilihan parti pada muktamar lalu.

Menurut Nasrudin pemerhatiannya itu berdasarkan kebanyakannya masih terbawa-bawa dengan isu-isu lapok yang telah lama dinafikan dan sentimen sebelum pemilihan itu.

Oleh kerana Abdullah merupakan tokoh dari Pemuda, sesetengahnya ada yang mengaitkan kegagalan Dewan tersebut kerana sudah hilang kawalan ke atas anggotanya sendiri.

Namun menurut Nasrudin, pada asasnya terkawal cuma mengakui ‘dalam setandan pisang sudah tentu ada sebiji dua yang busuk’.

“Apa-apa pun, orang muda sebetulnya masih banyak yang perlu belajar terutama daripada pengalaman sebelum menjelang usia matang. Maknanya bukan Pemuda hilang kawalan”.

“Dari kalangan Pemuda saya melihat ada yang boleh dikawal dengan ilmu dan tarbiah, ada yang dikawal dengan pengalaman dan kematangan dan ada yang hanya boleh dikawal dengan peraturan dan tindakan disiplin. Yang tidak boleh dikawal melalui tiga kaedah itu biasanya akan terkeluar dari landasan perjuangan ini. Itulah fitrahnya”.

Tambah Nasrudin, sesetengah dalam Pemuda lupa atau gagal menghayati bahawa PAS merupakan gerakan Islam dan bukan sebuah parti politik semata-mata. Kekuatan dan rahsia kehebatan inilah membezakan PAS dengan parti - parti politik yang lain.

“Akhir - akhir ini , seperti wujud satu gerakan terancang untuk menghakis nilai-nilai fundamental seperti wala', thiqah dan ukhuwwah daripada PAS sekaligus untuk meletakkan PAS hanya sebagai sebuah parti politik yang bertarung dan bergelut di medan demokrasi malah berusaha untuk meletakkan PAS sepenuhnya menganut faham demokrasi”.

”Bagi saya, tanpa nilai-nilai tersebut, perpecahan akan mudah berlaku. Jika anggota dan pimpinan jamaah tidak melunaskan prinsip amal jamaei dalam gerak kerja mereka, jamaah akan sentiasa terdedah kepada polemik dan konflik lalu ia membuka ruang untuk musuh memanfaatkan kesempatan itu”.

Apa yang membimbangkan Nasrudin, semakin hari, kelihatan sikap mengkritik pimpinan dan jamaah secara terbuka termasuklah mempertikai keputusan-keputusan parti kian menjadi budaya.

Ini semua hasil dorongan rasa tidak puas hati dan api dendam yang tidak pernah padam, bukan sahaja kisah-kisah lama terus diungkit bahkan polemik-polemik baru terus dicipta untuk meretakkan jamaah dan membinasakannya.

“Nasihat saya, sebagai pimpinan dan ahli parti kita mesti tahu mendisiplinkan diri kerana jamaah mempunyai akhlak, adab dan disiplinnya yang tersendiri. Ini perlu disedari semua. Namun jika berdegil, tindakan disiplin perlu dikenakan supaya ianya boleh menjadi pendidikan”.

 

Sumber Sidang Online

Terakhir Dikemaskini ( Jumaat, 05 Februari 2010 08:45 )  

Sedang Online

Kami ada 3 pelawat online

Statistik

Hit Paparan Kandungan : 24727