
SHAH ALAM - Pas sedia mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Naib Presidennya,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta pindaan perlembagaan parti dilakukan supaya anggota Jawatankuasa disiplin parti dipilih bukan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Pas termasuk pengerusi.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, cadangan tersebut pernah diutarakan sebelum ini, ia bukan baru diketengahkan akibat mendapat tekanan dan kritikan daripada keputusan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Disiplin 29 Januari lalu.
“Memandangkan pindaan perlembagaan parti perlu dilakukan sewaktu Muktamar Tahunan Pas, dan ia dilihat memakan masa apabila perlu mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS), Pas mengambil keputusan buat sementara waktu menggunakan perlembagaan parti sedia ada.
“Sebelum ini Pas berpendapat t:idak akan ada masalah apabila seseorang yang mempunyai jawatan dalam AJK Pusat juga dilantik memegang jawatan lain, namun setelah mendapat cadangan, kita akan mengkaji semula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.:
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Tuan Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas mencadangkan supaya pengerusi dan ahli jawatankuasa disiplin Pas dipilih bukan dari kalangan AJK Pusat Pas bagi memperlihatkan undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi perlu dilihat adil.
Jumaat lalu, Jawatankuasa Disiplin Pas memutuskan Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Samad digantung daripada jawatannya enam bulan manakala Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali diberi amaran.
Keputusan tersebut mendapat kritikan daripada ahli Pas yang menyifatkan ia tidak adil dan berat sebelah.
Mustafa turut berpendapat yang sama iaitu sebaik-baiknya ahli Jawatankuasa Disiplin termasuk pengerusi tidak memegang apa-apa jawatan di peringkat Pusat.
Bagaimanapun, beliau berharap Tuan Ibrahim tidak perlu bimbang dengan kritikan yang diterima dalam menerajui Jawatankuasa Disiplin Pas.
“Mungkin Pas akan melihat cadangannya tetapi buat masa sekarang, beliau perlu pikul tanggungjawab yang diamanahkannya kerana kami sebulat suara meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli Pas supaya tidak memberi tekanan kepada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin memandangkan keputusan yang dilakukan dibuat sebulat suara oleh jawatankuasa.


