Atas arahan siapa sehingga hukuman sebat terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno,, 32, yang sepatutnya dibawa ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat kerana meminum arak, dibatalkan dan ditangguh semalam?
Keputusan mengejut atas arahan “pihak tertentu” itu yang sepatutnya dilaksanakan minggu ini menimbulkan kekecohan di rumah bapanya di Sungai Siput pada 24 Ogos, selepas model sambilan itu berkeras mahu dibawa ke Penjara Wanita Kajang untuk menjalani hukuman.
Kekecohan berlaku kerana Kartika Sari enggan keluar daripada van Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) yang hanya bergerak sejauh 200 meter dari rumahnya di Kampung Jawang Utara, di sini, manakala bapanya, Shukarno Mutalib enggan menerimanya apabila pegawai Jaip menyerahkan semula anaknya.
Ketika pegawai Jaip berunding dengan bapanya, Kartika Sari duduk dalam van selama kira-kira sejam mulai jam 9.25 pagi sehingga jam 10.30 pagi sambil diperhatikan ramai penduduk kampung yang sebelum itu mengadakan solat hajat memohon wanita itu tabah menghadapi hukumannya.
Bagaimanapun, selepas perbincangan, Shukarno bersetuju menerima anaknya apabila Pegawai Penguatkuasa Jaip, Sharafuddin Zainal Abidin mengeluarkan surat pengesahan menyatakan Kartika Sari diserahkan semula kepada keluarganya berikutan penangguhan hukuman itu.
Kartika Sari, 32, yang kelihatan terkejut dengan keputusan itu kemudian bersetuju selepas bapanya berbincang dengan pegawai Jaip selama kira-kira sejam.
Sebelum itu, tiga pegawai penguat kuasa Jaip pergi ke rumahnya untuk membawa Kartika Sari ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat, tetapi van Jaip yang dinaikinya berpatah balik ke rumahnya selepas menerima arahan penangguhan hukuman.
Kartika Sari yang kecewa dengan keputusan itu, berkata beliau sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menjalani hukuman sebat dan tidak faham tujuan Jaip menangguhkan hukuman berkenaan.
“Saya tetap dengan pendirian saya. Saya tak tahu di mana kedudukan saya sekarang. Macam mana? Hati saya masih di situ. Saya sudah nekad (untuk disebat). Tiada hitam-putih apa kedudukan saya sekarang. Saya tetap dengan keputusan untuk disebat.
“Saya tertanya-tanya. Apa yang berlaku. Mengapa buat saya macam permainan bola sepak. Itu yang saya sedih,” katanya sambil menangis selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar polis bahawa beliau tidak melarikan diri selepas waran tangkap dikeluarkan.
Beliau dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel di Cherating pada jam 11.40 malam 11 Julai 2008.
Pada 18 Ogos, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus, memerintahkan dia ditahan berkuat kuasa semalam bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan itu. Kartika Sari adalah wanita pertama yang akan disebat akibat kesalahan meminum arak di negara ini.
Difahamkan, penangguhan hukuman itu disebabkan arahan Jabatan Peguam Negara yang cuba masuk campur berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu.
Sementara itu, Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Rahim Jaafar hari ini terkejut dan tidak tahu menahu mengenai penangguhan hukuman sebat terhadap seorang Kartika yang didapati bersalah minum arak di tempat awam baru-baru ini. Menurut beliau, pihaknya tidak menerima sebarang arahan daripada mana-mana pihak supaya hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi ditangguhkan. Jika mahu ditangguh atau dibatalkan, tegas beliau, ia haruslah diputuskan oleh mahkamah, bukan boleh ditarik begitu sahaja
Dari segi umum, campur tangan pihak atasan ini sudah tentu amat mengecewakan kerana nanti aktivis-aktivis maksiat akan disanjung sebagai pahlawan. Ini satu lagi episod malang kepada peraturan agama Islam di Malaysia.
Apabila hukuman terhadap Kartika boleh dibatalkan atas arahan pihak berkuasa, maka impaknya sudah pasti orang Melayu akan berani untuk meneguk arak tanpa segan silu lagi selepas ini. Kehancuran generasi muda pasti akan berlaku di mana-mana dan kerajaan harus dipertanggungjawabkan kerana gagal menguatkuasakan undang-undang syariah yang telah termaktub.
Pesalah akan dibela, sebagaimana Ketua Wanita UMNO, Sharizat Jalil yang baru-baru ini begitu lantang memaki hamun hokum yang dikeluarkan mahkamah syariah itu. Hari ini, PM Najib pula yang menunjukkan jalan supaya pesalah merayu, walaupun kes itu sudah sampai ke peringkat keputusan.
Inilah nasib Islam di tanah airnya sendiri!
SidangOnline.net


